Tiada kebenaran diberikan kepada Public Bank maupun Rafizi Ramli untuk mendedahkan maklumat perbankan : Salleh

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Public Bank Berhad tidak diberi kuasa untuk mendedahkan maklumat perbankan sulit pengerusi National Feedlot Corporation (NFCorp) Sdn Bhd dan kumpulan syarikatnya. 25 akaun bank dan 8 akaun cagaran beliau telah didedahkan.

Pengerusi NFCorp, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail berkata demikian dalam keterangannya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan ketika disoal oleh peguam MalaysiaKini, K Shanmuga semasa pemeriksaan balas.

Datuk Dr Salleh juga mengesahkan bahawa beliau telah melantik sebuah syarikat perunding perhubungan awam GRA Communications untuk menguruskan perhubungan media mengenai NFCorp dan syarikat-syarikatnya.  Firma perunding tersebut telah mengeluarkan kenyataan media bahawa KL Eco City adalah pembelian hartanah peribadi dan tiada kaitan dengan NFCorp.

Kenyataan media itu telah dihantar sebagai maklumbalas kepada sidang akhbar 7 Mac 2012 di mana Rafizi Ramli telah membuat kenyataan fitnah dan merosakkan reputasi dengan menggunakan dokumen kewangan Salleh daripada Public Bank.

Dalam pemeriksaan balas tersebut, Salleh berkata pelaburan tersebut adalah pelaburan peribadi maka Rafizi tidak berhak mendapatkan maklumat daripada Public Bank dan mendedah perihal pinjaman dan pelaburan peribadi di KL Eco City kepada orang awam. Salleh berkata apa yang lebih teruk adalah apabila Rafizi telah berbohong dan mendakwa Salleh tidak mampu untuk membayar balik pinjaman yang tidak wujud itu selama tempoh setahun.

Menurut Salleh lagi, Rafizi menuduh bahawa kegagalan beliau untuk membuat bayaran balik kepada pinjaman yang tidak wujud tersebut telah menyebabkan deposit pinjaman kerajaan sebanyak RM71.3 juta di bank tersebut berada di dalam keadaan tidak selamat dan dirampas oleh pihak Bank.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguamnya Datuk M David Morais, Salleh menjelaskan bahawa sebenarnya tawaran pinjaman yang ditawarkan kepadanya dan anaknya oleh Public Bank telah ditarik balik pada 4 Januari 2012. Tambah Salleh lagi, surat tawaran tersebut juga tidak menetapkan apa-apa ketetapan berhubung dengan cagaran tambahan kerana bangunan yang bakal dibeli itu, dijadikan sebagai cagaran, yang mana adalah perkara biasa.

Kenyataan Rafizi bahawa Salleh gagal membayar balik pinjaman lapan unit lot pejabat KL Eco City serta mempunyai tunggakan dari bulan Mac 2011 hingga Februari 2012, yang akan menjejaskan deposit pinjaman kerajaan yang ditempatkan di bank tersebut sebagai satu fitnah yang palsu dan merosakkan. Rafizi juga mendakwa Salleh tidak mempunyai kelayakan kredit kerana akaun bank peribadinya hanya mempunyai baki RM421.

“Ini adalah satu lagi bukti pembohongan Rafizi dengan menggunakan maklumat akaun pinjaman pembelian hartanah lain dari Public Bank yang kononnya akaun tersebut adalah akaun peribadi untuk membuktikan bahawa saya tidak mampu membuat bayaran balik”, ujar Salleh lagi.

Datuk Dr Salleh dan NFCorp  sebagai plaintif-plaintiff,  telah menyaman Rafizi  kerana mengeluarkan kenyataan fitnah yang berunsurkan pembohongan, putar belit bertujuan untuk memberi gambaran yang Salleh telah menyalahgunakan pinjaman kerajaan untuk pelaburan peribadi.

Ini telah menyebabkan timbul kemarahan orang ramai serta ahli politik dan agensi-agensi kerajaan terhadap Salleh, Shahrizat dan NFCorp. Pada 11 Mac 2012, 4 hari selepas pembohongan ini, Shahrizat terpaksa melepaskan jawatan beliau sebagai menteri kabinet. Pada 12 Mac 2012 pula Dr. Salleh ditangkap dan didakwa di makamah. Semua aset syarikat di Public Bank, Maybank dan CIMB dirampas pada 14 Mac 2012. Jadi pembohongan Rafizi telah mengelirukan semua memaksa kerajaan  mengambil tindakan di atas.

Di dalam pemeriksaan semula tersebut, Salleh menjelaskan berhubung dengan keupayaannya untuk membayar balik ansuran pinjaman yang dicadangkan bagi lapan unit KL Eco City yang dianggarkan RM60,000 sebulan. Beliau menjelaskan bahawa daripada lapan lot pejabat tersebut, empat akan dijual manakala dari baki empat lot , dua akan disewakan dan dua lagi akan digunakan untuk operasi pejabatnya. Ini akan meletakkan ansuran bulanan yang harus ditanggungnya pada kira-kira RM15,000 sebulan yang mampu dibayar balik  oleh pendapatan  beliau dan anaknya balik.

Salleh juga menjelaskan bahawa NFCorp akan terus menjalankan perniagaan. Pada ketika ini syarikat akan bekerjasama  dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah  untuk projek perladangan kontrak dengan Felcra Berhad. Beliau juga menambah bahawa Kementerian Pertanian telah meminta bantuan beliau dalam projek penternakan tenusu di mana kemudahan NFCorp di Gemas akan digunakan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga diberitahu bahawa tempoh tiga bulan sebelum pendedahan maklumat sulit perbankannya oleh Rafizi Ramli, pendapatan kumpulan syarikat NFCorp adalah pada paras menaik dan tertinggi. Walaubagaimanapun keadaan terus berubah berikutan pendedahan media pada 7 Mac,  dimana Salleh telah ditahan dan didakwa lima hari kemudian pada 12 Mac. Pihak berkuasa kemudiannya merampas semua akaun banknya berjumlah RM86.4 juta di Public Bank , Maybank dan CIMB pada 14 Mac 2012, sekali gus melumpuhkan perniagaan NFCorp.

Salleh seterusnya  menjelaskan bahawa berikutan daripada pendedahan oleh Rafizi pada 7 Mac 2012 tersebut, kumpulan syarikatnya telah mengalami kemerosotan jualan yang teruk dan enam bulan kemudian setelah baki stoknya susut,  urusan perniagaan NFCorp terus mengalami kerutuhan.

Di dalam pernyataan tuntutannya, plaintif telah memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah, kos dan relif lain yang sesuai dari mahkamah. Saman itu adalah untuk ganti rugi yang dialami oleh plaintif akibat daripada pembohongan , putar belit, gambaran yang salah, fabrikasi dan fitnah yang telah dilakukan oleh defendan.

Pengerusi NFCorp telah memfailkan saman undang-undang terhadap Rafizi Ramli dan Mkini Dotcom Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun 2013.

Plaintif diwakili oleh peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Datuk M Daud Morais , Al Firdaus Shahrul Naing , Sara Ann Chay Sue Mei dan Syed Ismat Syed Muhamad.