Takut hilang kelayakan ahli Parlimen punca Rafizi cabar Bafia, kata NFCorp

 

insider logoPublished: 22 April 2015 5:37 PM

 

p3

 

 

 

 

 

Permohonan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mencabar keperlembagaan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) adalah kerana takut didapati bersalah sekali gus hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen, kata NFCorp.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail (gambar, kiri) berkata permohonan itu jelas menunjukkan Rafizi cuba melengah-lengahkan pertuduhan terhadapnya dan kerani Public Bank Berhad Johari Mohamad.

“Saya yakin beliau sangat takut berdepan tuduhan terhadapnya dengan beranggapan beliau jelas berbohong, memutar belit dan mendedahkan maklumat sulit bank.

“Beliau tahu beliau jelas bersalah kerana dirinya bukanlah seorang pemberi maklumat.

“Saya percaya jika beliau didapati bersalah, beliau akan kehilangan kelayakan sebagai seorang ahli Parlimen dan itu yang cuba dielak dan ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi merupakan ahli Parlimen Pandan penggal pertama dan juga naib presiden PKR.

Beliau bersama Johari pada Ogos 2012 dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam melanggar Seksyen 97 (1) Bafia.

Jika didapati bersalah, Rafizi boleh didenda sehingga RM3 juta dan penjara tiga tahun sekali gus kehilangan status ahli Parlimen.

Salleh berkata, dengan permohonan Rafizi mencabar keperlembagaan Bafia, ia melengahkan dan menafikan keadilan terhadap dirinya dan NFCorp serta hukuman kepada yang bersalah.

“Saya sudah merujuk peguam dan dinasihati, tidak guna Rafizi mencabar keperlembagaan Bafia kerana Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebulat suara berpendapat dan memutuskan, tuduhan terhadap Rafizi di bawah Bafia, bukan mala fide, menindas atau bermotifkan politik,” katanya.

Rafizi pada Isnin memfailkan dokumen di pejabat pendaftar Mahkamah Shah Alam untuk mencabar keperlembagaan Bafia bagi membolehkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Peguamnya N Surendran berkata, cabaran itu dibuat berikutan Bafia ialah undang-undang zalim sama seperti Akta Hasutan.

“Tuduhan itu cacat kerana pihak pendakwaan tidak perlu membuktikan niat jenayah yang dikatakan itu,” katanya kepada pemberita.

Surendran berkata, pertuduhan terhadap Rafizi dan Johari yang didakwa melakukan konspirasi perlu dilucutkan kerana Bafia sudah dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Beliau berkata, tidak ada sebab untuk pendakwa raya meneruskan kes itu kerana kedua-dua tertuduh sudah mendedahkan penyalahgunaan kuasa yang bertindak atas kepentingan awam.

Surendran berkata, permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 30 Akta Kehakiman Mahkamah 1964.

“Kami akan meminta Hakim Mahkamah Sesyen merujuk tiga soalan perlembagaan kepada Mahkamah Tinggi,” katanya.

Rafizi pada bulan Ogos 2012 didakwa mendedahkan empat dokumen profil pelanggan Public Bank pada ringkasan imbangan NFCorp, National Meat and Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Salleh.

Beliau didakwa mendedahkan dokumen kepada perunding media Yusuf Abdul Alim dan wartawan The Star Erle Martin Carvalho di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada 7 Mac 2012.

Pada 10 September, 2012, Rafizi memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menggugurkan pertuduhan atas alasan pendakwaannya bertentangan dengan dasar umum kerana mendedahkan penyalahgunaan dana awam.

Beliau kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan selepas permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi pada 23 November 2012.

Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rafizi untuk menggugurkan pertuduhan itu. – 22 April, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/takut-hilang-kelayakan-ahli-parlimen-punca-rafizi-cabar-bafia-kata-nfcorp#sthash.mV50afPO.dpuf