Salleh syukuri penghakiman ke atas Rafizi

KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah." Demikian respons pertama Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Beliau memberikan maklum balas itu selepas Mahkamah Sesyen pagi ini mendapati Ahli Parlimen Pandan yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, bersalah kerana mendedahkan empat akaun bank berkaitan NFC dan Mohamad Salleh.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zamri Bakar, menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas Rafizi.

Zamri turut menjatuhkan hukuman itu ke atas seorang lagi tertuduh yang juga bekas kerani bank, Johari Mohamad, 47, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi.

Sambil mensyukuri dan mengalu-alukan penghakiman itu, Mohamad Salleh berkata, reputasi dan perniagaannya terjejas teruk akibat pendedahan berkenaan.

"Allah menguruskan suatu perkara itu dengan cara tersendiri (dalam menegakkan keadilan).

"Penghakiman itu menunjukkan kesalahan memang sudah dilakukan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Rafizi dan Johari dituduh mendedahkan dokumen penyata baki akaun NFC National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh.

Kedua-dua tertuduh didapati bersalah kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

BERITA HARIAN by SYED UMAR ARIFF
February 7, 2018 @ 12:24pm

NEWS RELEASE prepared and issued on behalf of National Feedlot Corporation Sdn Bhd. FOR MORE INFORMATION, please contact us at nfcorp.media@gmail.com.